Isnin, 5 Julai 2010

Hawa dan nafsu..

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesungguhnya seorang hamba Allah itu tidak akan dapat mengawal hawa dan nafsunya sekiranya ia mengharapkan ada orang lain yang akan mengawalnya.

Hawa berakibat bahaya, tetapi jalannya amat mudah. Tidak sukar. Sebab itu jika kita menghadapi dua perkara, hendaklah dipilih barang yang sukar mengerjakannya tetapi baik akibatnya. Jangan barang yang diingini oleh hawa nafsu, kerana akibatnya buruk. Kebanyakan barang yang baik sukar dikerjakan. Itulah sebab Rasulullah bersabda:

“Diramaikan syurga dengan barang yang berat mengerjakan dan diramaikan neraka dengan syahwat”. (HR: Bukhari dan Muslim)

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya kita tidak dapat mengawal hawa nafsu kita. Kawalan dari dalam diri sendiri itu adalah yang terpenting. Kekuatan seorang hamba Allah dalam mengawal hawa dan nafsunya sebenarnya perlu dimulakan dari awal. Tidak bermakna sekiranya seorang itu telah terlambat dalam membina kekuatan diri, maka ia tidak akan mampu melawan diri dari bisikan nafsu jahat.

Sebaliknya, kemahuan adalah kekuatan tersembunyi yang mampu merempuh segala rintangan. Seperti mana kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Maka sekiranya seorang manusia inginkan sesuatu matlamatnya tercapai, maka ia perlu berusaha ke arah itu dengan sedaya upaya dan jangan sekali-kali menyerah kalah. Pendekatan diri dengan Tuhan adalah penting agar kekuatan dapat dibina sekukuhnya dari ujudnya iman dan takwa dalam setiap diri. Apakala seorang insan itu mempunyai iman dan takwa yang tertanam kukuh dalam dirinya, maka syaitan tidak akan dapat mempengaruhinya dalam mengikut kata nafsu jahat yang dapat merosakkan diri. Apakah iman dan takwa, kenapa perlunya iman dan takwa dalam setiap diri? Bagaimana cara mendapatkan iman dan takwa itu?

Ini semua adalah sesuatu yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum manusia mampu untuk menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, seterusnya dengan iman dan takwa itu akan dapat pula memberi kekuatan dalam diri untuk melawan hawa dan nafsu.

Berkata Ulama: Bila terjadi peperangan di antara akal dan hawa nafsu, akal mempertahankan barang yang pahit tetapi manis akibatnya, nafsu mempertahankan barang yang manis tetapi pahit bekasnya. Ketika itu keduanya sama mencari alasan dan sandaran. Akal mencari pembelaan dari Nur Allah, nafsu mencari perlindungan dari was-was syaitan. Kalau menang bala tentera hawa, terhapuslah cahaya kebenaran, padamlah suluh yang hak, terang matanya menghadapi keuntungan yang sebentar, buta dari keuntungan yang sebenarnya. Tertipu oleh kelazatan yang cepat datang dan cepat hilang, tidak insaf kepada kekayaan, dan kalahlah petunjuk Ilahi. Kalau yang mempunyai akal itu lekas segera mempertahankan petunjuk Tuhan, berpedoman Nur Tuhannya, nescaya jatuh tersungkurlah bala tentera syaitan dan terpasunglah hawa nafsu.

Menyentuh tentang iman dan takwa. Iman adalah kepercayaan. Kita hafal 6 rukun iman yang kita pelajari dari kecil lagi. Percaya kepada Tuhan, Percaya kepada Malaikat, percaya kepada Rasul, percaya kepada Kitab, percaya kepada Qiamat dan percaya kepada Qada' dan Qadar. Takwa pula diertikan dengan takut. Ittaqullah!!! Takutkan Allah.

Apakala kita percaya kepada enam perkara di atas, maka adalah kita dikatakan antara orang yang beriman. Namun tak semudah itu untuk menjadi orang yang benar-benar beriman. Percaya kalau setakat akuan mulut semata, tidak mampu membantu kita menjadi insan yang benar-benar beriman. Kita perlu mengaku dengan kata-kata, kita perlu percaya di hati dan perlu kita akui dengan perbuatan. Terlalu luas kalau hendak dihuraikan keenam-enam rukun iman tadi. Cukuplah dikatakan bahawa andai kita telah benar-benar menjadi orang yang beriman, maka takwa akan jadi milik kita juga. Dan dengan dua senjata inilah, maka seorang insan itu akan mampu mengalahkan syaitan dan hawa nafsu yang merupakan musuh utama setiap manusia yang bernyawa. Semuanya mengarahkan kepada kita agar menjadi insan yang bertakwa.

Apabila kita menjadi insan yang bertakwa, maka kita tidak akan menghampiri segala jenis kekejian yang boleh merosakkan kita. Bisikan syaitan dan hawa nafsu akan dapat kita tepis. Kalau kita takutkan Allah, bermaksud kita takutkan hukuman Allah, takutkan neraka Allah, takutkan siksa Allah di alam kubur dan di akhirat kelak. Apabila kita benar-benar percaya dan yakin dengan siksaan Allah, maka kita tentunya tidak akan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah, kerana Tuhan telah jadikan manusia berperasaan takut akan sesuatu yang menyakitkan, sesuatu yang mengerikan. Lainlah kalau ada manusia yang tiada berperasaan takut pada siksaan dan hukuman dan sanggup dengan rela hatinya membiarkan dirinya tersiksa dengan hukuman-hukuman Allah? Sedangkan di dunia lagi kita tidak sanggup disakiti, apalagi kalau di akhirat yang kita yakini ada siksaan dan hukuman pada pesalah-pesalah dunia. Seperti yang telah dikatakan tadi, itu kalau kita benar-benar Islam. Benar-benar percaya kepada enam rukun iman tadi.

Belajarlah tentang iman, peringkat-peringkat iman, benteng-benteng iman dan lain-lain. Lengkapkan diri dengan ilmu agama, sekurang-kurangnya ilmu fardhu ain yang diwajibkan kepada setiap orang yang mengaku Islam untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita. Pastikan kita kenal dan tahu membezakan apa yang betul dan apa yang salah yang hendak kita lakukan.

Hanya itulah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari segala kemungkaran dan kefasikan di dunia yang penuh ujian ini.

Seorang manusia berperang dengan hawa nafsunya, kerana dia takut jatuh hina kalau kalah oleh nafsu. Dalam hidup yang hanya sekejap mata ini, kerap menanggung bermacam-macam malapetaka. Itu tidak mereka takuti, yang mereka takuti ialah malapetaka di akhirat.

Selamat berjaya pada yang mahu mencuba membaiki diri, dan jangan berputus asa pada yang telah pernah tewas melawan hawa nafsu. Bertaubat dan berusahalah untuk kembali menjadi orang yang beriman. Mujahadah diri adalah sesuatu yang perlu dilakukan untuk mengelakkan diri dari sesuatu yang keji.

Wassalam…

Amal itu kerangka yang mati, dan ruhnya ialah
keikhlasan yang ada padanya.
~Imam Ibnu Athaillah as-Sakandari~